Wednesday, October 7, 2009

Temubual BERNAMA dgn CEO! 27 Sept.2009

Oleh Santhia Panjanadan

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kenshido International Sdn Bhd, syarikat tempatan pertama yang memulakan pendidikan dalam talian (webucation) pada 1999, yakin pelancaran gerbang e-pembelajarannya baru-baru ini bagi pelajar tingkatan empat dan lima akan menyumbang 30 peratus kepada pendapatan kumpulan pada Disember.

Dilancarkan pada akhir Ogos, syarikat itu yakin produk baharu tersebut akan menyumbang 40 peratus kepada keuntungan kumpulan tahun depan.

"Kami boleh mencapai sasaran ini kerana terdapat pasaran yang belum dimanfaatkan iaitu kira-kira 500,000 pelajar tingkatan empat dan lima.

"Ibu bapa juga memberi penekanan utama kepada pendidikan anak-anak mereka dan mahu memastikan mereka mendapatkan gred yang baik dalam peperiksaan awam, justeru itu gerbang e-pembelajaran merupakan suatu yang popular di kalangan pelajar dan ibu bapa," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kenshido, Jason Kok Min Chong dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama.

Beliau berkata syarikat tersebut melabur kira-kira RM1 juta untuk membangunkan produk format objektif itu dan akan terus melabur bagi memajukan format subjektif pada suku pertama 2010.

Program E-Pembelajaran Kenshido membantu para pelajar bersiap sedia sebelum menghadapi peperiksaan dan sejak 10 tahun lepas telah berjaya melahirkan beribu-ribu pelajar yang mendapat A penuh dalam peperiksaan UPSR dan PMR.

Syarikat pendidikan itu menjual produknya menerusi sistem pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan mempunyai lebih 40,000 pengedar aktif di seluruh negara.

Jason berkata kira-kira RM5 juta telah dilabur untuk membangunkan gerbang yang sama bagi pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga dalam tempoh 10 tahun lepas.

"Keseluruhannya, dengan peningkatan dalam pendapatan, bilangan pengedar dijangka meningkat berlipat kali ganda," katanya.

Mengenai prospek pasaran bagi perniagaan e-pembelajaran, Jason berkata ia menjangkakan persaingan yang kecil.

"Untuk mendapat penerimaan orang ramai menerusi pemasaran pelbagai peringkat memerlukan strategi yang betul dan usaha keras.

"Kami mengambil masa 10 tahun untuk membangunkan gerbang, rangkaian dan pasaran webucation yang kami ada hari ini. Justeru itu, kami menjangkakan persaingan yang kecil dalam perniagaan ini," katanya.

Mengenai pertumbuhan keseluruhan kumpulan Kenshido, Jason yakin pendapatan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2009, akan meningkat sebanyak 500 peratus.

"Kami berada di suku ketiga kami sekarang dan kami sudahpun menyaksikan kenaikan 300 peratus dalam keseluruhan pendapatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Dan saya yakin kami dapat mencapai sasaran ini pada akhir tahun, dinilai daripada kepantasan pergerakan kami, peperiksaan awam yang semakin dekat dan permintaan bagi gerbang program "Score A" kami yang semakin meningkat," katanya.

Gerbang program "Score A" itu disokong oleh Kementerian Pendidikan dan menelan kos RM596 setiap satu, bagi langganan enam bulan. Dua pelajar boleh mengakses gerbang itu pada satu masa.

Gerbang itu mengandungi soalan berasaskan topik, penilaian bulanan, peperiksaan ujian dan soalan tahun-tahun lepas untuk lebih daripada 10 tahun, bergantung kepada subjek.

Bagi pengedar, mereka boleh memilih untuk mendaftar dalam tiga kategori iaitu e-rakan kongsi bagi RM1788, e-usahawan bagi RM5548 dan e-max bagi RM10,800.

-- BERNAMA

KOSMO! 28 sept. 2009